Friday, August 20, 2010

Exercise Ostex 29 Jul to 6 Aug

LATIHAN KEMAHIRAN LAUT: INTEGRASI KDTUNKU ABDUL RAHMAN BERSAMA KAPAL PERANG DAN PESAWAT UDARA TLDM

1. Kota Kinabalu, 29 Jul – Buat julung kali,TLDM mengintegrasikan aset strategik Kapal Selam TLDM KD TUNKU ABDUL RAHMAN bersama Armada TLDM dalam Latihan Kemahiran Laut dan Latihan Integrasi Kapal Selam yang terbesar di Perairan Laut China Selatan mulai 29 Jul hingga 6 Ogos 10 .

2. Latihan kali ini yang dikenali sebagai Operation Sea Training Excercise / Fleet Integration Training With Submarine 2010 (OSTEX/SUB FIT 2010) telah dirasmikan Panglima Wilayah Laut 2, Yang Berbahagia Laksamana Pertama Dato'Anuwi bin Hassan pada 29 Jul 10 di Auditorium Markas Angkatan Kapal Selam,Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Latihan ini adalah kali pertama melibatkan kapal selam TLDM KD TUNKU ABDUL RAHMAN bersama 10 buah lagi kapal perang dalam Armada TLDM iaitu KD SRI INDERA SAKTI, KD LEKIU, KD LEKIR, KD MAHAMIRU, KD LEDANG, KD SRI GAYA, KD PERAK, KD TERENGGANU,KD PAHANG dan KD KEDAH. Selain itu, sebuah pesawat Super Lynx dan Fennec, Tim Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tim Penyelam dan Tim Pasukan Pertahanan Udara, dua buah pesawat pejuang HAWK dan pesawat maritim BEECHCRAFT serta Helikopter NURI dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga turut serta. Latihan ini telah melibatkan lebih 1000 anggota TLDM/TUDM yang diketuai oleh Ketua Staf Markas Armada, Laksamana Pertama Mior Rosdi bin Dato' Mior Mohd Jaafar selaku Pegawai Pengendali Eksesais.

3. Tujuan utama eksesais ini adalah untuk melatih, menguji dan mengintegrasikan keupayaan tempur Armada TLDM dan pesawat TLDM/TUDM bersama kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN sesuai objektif berikut:

a. Menguji kesiagaan dan kepakaran Armada.

b. Membangunkan keupayaan Armada dan pesawat TLDM/TUDM

beroperasi bersama Kapal Selam TLDM.

c. Menguji Sistem Pemerintahan dan Kawalan Markas-markas Operasi

yang terlibat.

d. Menguji keupayaan merancang dan mengatur gerak Armada.

e. Menguji Rancangan Sokongan (RANSOK) Pertahanan Gugusan

Semarang Peninjau (GSP).

f. Memperagakan kehadiran di Laut China Selatan.

g. Menguji pertahanan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).

4. Dengan adanya kapal selam sendiri, TLDM tidak lagi perlu bergantung kepada penglibatan Kapal Selam Tentera Laut Asing untuk melatih kapal-kapal penangkis kapal selam TLDM dalam taktik dan prosedur peperangan menangkis kapal selam. Peluang ini juga akan diguna oleh KD TUNKU ABDUL RAHMAN untuk memantapkan prosedur dan taktik kapal selam dalam menangkis serangan kapal permukaan.

5. Latihan kemahiran laut ini yang lazimnya dilakukan tiga kali dalam setahun oleh setiap Markas Wilayah iaitu Markas Armada di Lumut Perak, Markas Wilayah Laut 1 di Tanjung Gelang Pahang, Markas Wilayah Laut 2 di Kota Kinabalu Sabah dan Markas Wilayah Laut 3 di Langkawi. Namun ia telah dikurangkan kepada hanya sekali setahun bagi menjimatkan perbelanjaan. Kesemua latihan di peringkat wilayah telah digabungkan untuk latihan kali ini.

6. Peluang ini juga digunakan untuk menilai semula Rancangan Sokongan (RANSOK) pertahanan Gugusan Semarang Peninjau (GSP) dan Pangkalan TLDM. Untuk tujuan ini Pasukan Khas Laut (PASKAL), Pasukan Penyelam (PLM) dan Pasukan Pertahanan Udara (PPU) diuji. Melalui latihan ini juga, secara tidak langsung Sistem Kawalan dan Pemerintahan Armada serta Pangkalan TLDM turut diuji.

7. Latihan OSTEX/SUB FIT 2010 juga berjaya menguji keupayaan pesawat Fennec dan Super Lynx TLDM apabila melaksanakan winching di mana pesawat akan terbang rendah mendekati kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN yang sedang belayar untuk mengambil dan menurunkan anggota atau barang tanpa melakukan pendaratan. Kedua-dua pesawat ini juga diuji dalam pelaksanaan Operasi Mencari dan Menyelamat atau Search And Rescue (SAR) di waktu malam. Helikopter Fennec dan Super Lynx TLDM yang dilengkapi Night Vision Goggle (NVG) merupakan pasukan udara pertama Malaysia yang berkemampuan untuk menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat pada waktu malam.

6. Majlis penutup telah disempurnakan Panglima Angkatan Kapal Selam, Yang Berbahagia Laksamana Pertama Dato' Pahlawan Mohammad Roslan bin Omar pada 6 Ogos 2010 di Auditorium Markas Angkatan Kapal Selam. Sesungguhnya, OSTEX/SUB FIT 2010 merupakan latihan yang amat padat untuk menguji kemahiran operasi dan kesiagaan Armada TLDM dalam menangani ancaman 3 dimensi iaitu permukaan, bawah permukaan dan udara ke atas kedaulatan negara. Pertambahan aset baru seperti Kapal Ronda Generasi Baru iaitu KD KEDAH, KD PAHANG, KD PERAK dan KD TERENGGANU serta kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan KD TUN RAZAK jelasnya telah meningkatkan keupayaan tempur Armada TLDM dan sekali gus menjadikan TLDM antara Tentera Laut bertaraf dunia yang disegani di rantau ini.



by Dzirhan Mahadzir

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...