Friday, January 21, 2011

Kenyataan Penuh Mengenai Kejadian Rampasan Kapal MT BUNGA LAUREL di Teluk Aden



KAPAL AUXILIARY TLDM BM 5 BERJAYA MENYELAMATKAN KAPAL MT BUNGA LAUREL YANG DIRAMPAS LANUN DI PERAIRAN TELUK ADEN

Bahagian Perhubungan Awam, Markas Tentera Laut Diraja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

Kapal Auxiliary TLDM BUNGA MAS 5 yang sedang melaksanakan Operasi FAJAR telah berjaya menyelamatkan Kapal MT BUNGA LAUREL yang dirampas lanun di perairan Teluk Aden pada 21 Jan 11. Operasi FAJAR ini dilaksanakan semenjak 21 Jun 09 bagi memberi perlindungan kepada kapal dagang milik MISC dan yang berkepentingan kepada negara semasa melalui perairan Teluk Aden dari dirampas lanun. Kapal MT BUNGA LAUREL adalah kapal jenis Chemical Tanker yang disewa oleh MISC bagi membawa muatan minyak pelincir dan ethylene dichloride dari Timur Tengah ke Singapura.

Kejadian berlaku pada 20 Jan 11 jam 11:40 malam, kira-kira 300 batu nautika Timur negara Oman, 2 jam selepas Kapal MT BUNGA LAUREL dipisahkan di kawasan ‘selamat’ setelah selesai diiringi Kapal Auxiliary TLDM BM 5 melalui perairan Teluk Aden. Kapal MT BUNGA LAUREL telah dinaiki oleh 7 orang lanun yang berasal dari Somalia bersenjatakan senapang AK-47 dan pistol dengan menaiki bot jenis ‘skiff’. Dalam masa yang sama, pihak lanun dipercayai menggunakan sebuah kapal induk bagi melancarkan serangan ini yang secara keseluruhan melibatkan seramai 18 orang lanun. Krew Kapal MT BUNGA LAUREL sempat mengaktifkan Ship Security Alert System sebelum berlindung di bilik keselamatan khas yang terletak berhampiran bilik jentera kapal.

Bertindak dari pangilan kecemasan ini, Kapal Auxiliary TLDM BM 5 yang berada kira-kira 14 batu nautika dari Kapal MT BUNGA LAUREL bergegas ke tempat kejadian bagi mengamankan keadaan. Helikopter Fennec TLDM yang dilancarkan dari Kapal Auxiliary TLDM BM 5 turut terlibat di dalam operasi ini dengan memberi bantuan pemantauan dan tembakan dari udara. Tembakan tepat dan padu dari Helikopter Fennec TLDM ke arah kapal induk lanun telah berjaya menghalangnya dari memberi bantuan kepada lanun di atas Kapal MT BUNGA LAUREL. Status kerosakan kapal induk dan kecederaan pada lanun yang berada di atasnya pada ketika ini tidak dapat dipastikan oleh sebab serangan dilakukan pada waktu malam. Pasukan Perlindungan Khas ATM yang berada di atas Kapal Auxiliary TLDM BM 5 telah diatur gerakkan untuk menggempur lanun di atas Kapal MT BUNGA LAUREL pada jam 1:20 pagi.

Selepas berbalas tembakan dengan pihak lanun, akhirnya Pasukan Perlindungan Khas ATM berjaya menawan kembali dan menyelamatkan semua 23 orang krew Kapal MT BUNGA LAUREL. Seramai 3 orang lanun mengalami kecederaan di dalam kejadian ini dan diberi rawatan di atas Kapal Auxiliary TLDM BM 5. Pasukan Perlindungan Khas ATM telah berjaya mengamankan keadaan di dalam masa 2 jam selepas Kapal MT BUNGA LAUREL dinaiki lanun tanpa melibatkan sebarang kecederaan di pihak Pasukan Perlindungan Khas ATM. Kejadian yang berlaku di perairan ‘selamat’ jelas menggambarkan ancaman lanun semakin berleluasa di perairan Teluk Aden. Sehingga kini sebanyak 32 buah kapal dagang masih lagi di bawah tawanan lanun walaupun usaha di peringkat antarabangsa terus dipergiat dalam menanganinya.



kredit to Dzirhan Mahathir

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...